Monday, December 15, 2008

Yayasan Raub muncul kembali

SENGKELA - Yayasan Raub (YR) yang mencecah usia 13 tahun penubuhannya pernah menjadi tajuk utama hamparan berita lokal dan menggemparkan penduduk Raub kerana disaman penduduk tempatan dan disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada pertengahan Julai lalu.

Pelbagai berita dan laporan negatif dihidangkan kepada masyarakat yang sebahagian besarnya langsung tidak tahu tentang 'kewujudan' dana untuk rakyat itu.

Kini ia seolah-olah muncul kembali menemui rakyat Raub menerusi perkhabaran seumpama sogokan dengan harapan mendapat penerimaan baik seluruh masyarakat di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram (gambar) berkata, YR kini sedang menjalankan rundingan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub untuk urusan penyewaan premis milik YR yang masih dalam pembinaan di belakang bangunan Majlis Daerah Raub (MDR).

Menurutnya, penyewaan premis tersebut dianggap sebagai sumber pendapatan YR yang kemudiannya dijadikan dana kebajikan masyarakat.

"Sekiranya rundingan ini berjaya dan JKM Raub sudi menyewa premis tersebut, YR akan menjana pendapatan pada anggaran RM3,000 sebulan bagi mengisi tabung YR," katanya pada majlis pertemuan ramah mesra pemimpin bersama penduduk Kampung Sengkela.

Hadir sama mendengar ungkapan keramat tersebut Ahli Parlimen Raub, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Pegawai Daerah Raub, Datuk Abdull Muain Abdul Hamid dan Pegawai JKM Raub, Mohamad Tajul Aris Hassan.

Persoalan penting yang memerlukan pemikiran kritis masyarakat Raub ialah ke mana perginya wang / dana YR sehingga ratusan juta ringgit berdasarkan beberapa projek yang dipohon dan diluluskan kerajaan negeri.

Adakah kehilangan ratusan juta ringgit itu boleh diganti dengan pendapatan RM3,000 sebulan? Apakah rasionalnya Aziz Kiram mengumumkan perkara yang belum mendapat persetujuan JKM Raub lagi?

Bagi mengingatkan kembali semua masyarakat Raub, YR pernah disaman seorang usahawan tempatan, Razali Hassan, pada tahun 2007 berikutan penyelewangan yang dilakukan sebahagian besar pengarah YR.

Mahkamah pada ketika itu menolak permohonan YR (defendan) yang merayu untuk menggugurkan kes berkenaan.

Penolakan mahkamah terhadap permohonan defendan itu bermakna Razali Hassan (plaintif) melalui peguamnya, Mohd Harris Abdullah berjaya menyediakan pendakwaan dan membuktikan kes prima facie.

Plaintif kemudiannya bertindak menarik semula saman berkenaan dan memindahkan kes tersebut untuk urusan penyiasatan BPR Putrajaya.

Pada awal Ogos 2008, sebuah akhbar lokal memaparkan kes berkenaan sebagai tajuk utama yang mula mendapat perhatian penduduk seluruh daerah Raub dan negeri Pahang amnya.

Masyarakat yang mahukan penerangan terperinci berkenaan kontroversi yang dicetuskan YR boleh membuat carian di www.google.com.my dengan menaip kata kunci "Yayasan Raub".

......................................................................................................
Warta Raub berasa sinis mendengar ungkapan keramat yang keluar dari mulut Aziz Kiram berkenaan perkara tersebut sedangkan daripada mula sehingga akhir ucapannya, dia seolah-olah 'syok sendiri' apabila Warta Raub tidak dapat mencatat satupun isi penting ucapan (kerana semuanya dianggap 'merepek'). Premis yang dicanang untuk disewakan itu juga merupakan 'saguhati' daripada syarikat swasta setelah YR dengan 'rela hati' menyerahkan projek pembinaan ke tangan syarikat itu. Sekiranya diperhalusi, YR boleh menjana pendapatan yang lumayan jika menguruskan sendiri projek berkenaan, ataupun mendapat 'bahagian' yang besar sekiranya diagihkan mengikut peratusan projek. Tetapi hanya dua lot rumah kedai yang diterima atas 'gadaian' tersebut di mana salah seorang pengarah YR adalah pemilik syer dalam syarikat swasta berkenaan. Tolak sana sini, masuk poket mereka juga.

No comments: