Sunday, February 14, 2010

Siapa PENGERUSI BN sebenarnya?

Melihat kepada tajuk di atas, Tuah tidaklah ingin membincangkan perihal pimpinan peringkat tertinggi, cukup sekadar dalam kawasan Parlimen Raub sahaja.

Tidak lama dulu, seingat Tuah, daerah ini pernah disebarkan dengan 'pengumuman' Perdana Menteri kita yang menyatakan bahawa jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) setiap parlimen perlu disandang Ahli Parlimen kawasan masing-masing.

Tetapi Tuah tidak pula melihat pengumuman tersebut dalam siaran mana-mana media. Agak pelik jugalah, atau Tuah yang ketinggalan mendapatkan maklumat tersebut secara rasmi menerusi media.

Tidak mengapa, betul atau tidak pengumuman itu, bukanlah menjadi keutamaan bagi Tuah, tetapi individu yang menyandang jawatan itu lebih menarik minat Tuah untuk mengupas isu serba sedikit.

Sekiranya benar jawatan itu perlu disandang Ahli Parlimen setiap kawasan, bermakna Pengerusi BN Parlimen Raub seharusnya secara SAH adalah Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, kan? bermakna, terlepaslah sudah jawatan yang sekian lama disandang Datuk Shahiruddin Ab Moin tu, kan?

Padanlah sejak beberapa tempoh kebelakangan ini, Tuah dapat melihat senario berbeza dalam kalangan pimpinan dan kroni Yen Yen bersama pimpinan dan kroni Shahiruddin. Jika dulu, setiap majlis pasti mereka hadir untuk saling menyokong antara satu sama lain, tetapi tidak lagi ketika ini.

Paling Tuah rasa tidak logik, Abdul Aziz Mat Kiram juga tidak hadir ke mana-mana majlis Yen Yen, sekali gus menunjukkan bahawa Abdul Aziz ini tidak berpendirian sebagai pemimpin, bahkan rela mengikut telunjuk Shahiruddin yang belum tentu lagi akan membela nasibnya pada masa akan datang.

TETAPI, sejak beberapa hari lalu, sampai juga angin menderu entah dari mana, terus menusuk ke telinga Tuah. Angin tersebut membawa perkhabaran bahawa jawatan Pengerusi BN itu telahpun SAH menjadi milik Shahiruddin SEMULA.

MENGAPA? atas alasan apa pula perlu dia memegang jawatan itu setelah pengumuman dibuat untuk meletakkan jawatan itu sebaris kerusi Ahli Parlimen?

BAGAIMANA Shahiruddin dapat meyakinkan Perdana Menteri kita untuk menulis surat penerangan bahawa jawatan Pengerusi BN adalah HAK Shahiruddin?

Sekiranya benar ada surat daripada Perdana Menteri untuk meletakkan Shahiruddin sebagai Pengerusi BN, masyarakat pasti mempersoalkan ketidaktelusan Perdana Menteri sendiri sekali gus mempertikaikan gagasan 1Malaysia yang dilaungkannya selama ini.

Bagaimana pula dengan Pengerusi BN bagi kawasan lain di seluruh negara? Adakah ia menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen setiap kawasan, atau boleh dipilih sesuka hati mengikut kroni yang dikehendaki sahaja?

Jawatan tersebut sebenarnya tidaklah sepenting mana memandangkan rakyat hari ini sudah bijak menilai. Sekiranya jawatan yang baik jatuh ke tangan pemimpin terbaik, pasti ia menjadi kelegaan kepada semua masyarakat. Tetapi sekiranya ia jatuh ke tangan pemimpin yang sedia maklum mempunyai rekod tidak baik, apa lagi yang hendak dibanggakan melainkan keluhan dan iringan kata-kata lazim, "Emmmpphh....dah agak dah....tak kemana la kita sampai bila-bila...".

Saturday, February 13, 2010

Tuah hadir perkenalkan diri

Hai...
Tuah mendapat mandat sepenuhnya untuk melakarkan informasi sekitar daerah Raub sebagai memenuhi permintaan ramai terhadap Anak Srikandi.

Memang banyak yang hendak diperkatakan sejak Warta Raub mula diwujudkan lagi dan tapisan demi tapisan tidak menjadi halangan buat Tuah untuk terus mengharap agar dapat menjadi salah seorang penulis dalam ruangan ini.

Sekiranya pandangan dan maklumat yang Tuah sertakan ini tidak disukai sesiapa sahaja, walaupun pemilik Warta Raub sendiri, Tuah memohon sejuta keampunan dari awal lagi.

Hari ini, Tuah cuma hadir memperkenalkan diri di samping meneruskan coretan Anak Srikandi yang terhenti agak sekian lama.

Semoga kita jumpa lagi esok, pastikan sentiasa mengunjungi Warta Raub untuk dapatkan maklumat sensasi sekitar kalian semua. Terima Kasih.