Monday, December 15, 2008

Pengguna 'diajak' bijak berbelanja

TF VALUE MART - Pelancaran Kempen Penurunan Harga Barang di pasar raya ini semalam tidak hanya mengajak pengguna untuk membeli barangan dengan harga murah, tetapi turut bijak berbelanja agar dapat mengurangkan kos harian isi rumah.

Kempen yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Datuk Fong Kong Fuee, turut memberi maksud 'tersirat' supaya pengguna terutama bagi kawasan luar bandar membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian.

Warta Raub yang turut sama menyertai majlis pelancaran itu mendapati beberapa barangan (difahamkan 1,700 jenis) diturunkan harganya sehingga 65 peratus berkuatkuasa kelmarin sehingga 13 Januari 2009.

Penurunan harga sehingga pada tahap menakjubkan itu mendapat sambutan menggalakkan penduduk setempat yang tidak mahu melepaskan peluang menikmati penjimatan sehingga lebih RM10.

Warta Raub mengikuti Kong Fuee meninjau bahagian barangan basah dan melihat Udang Sedang dijual pada harga RM9.90 iaitu pengurangan RM7 berbanding harga asal.

Namun begitu, terdapat beberapa barangan yang tidak diturunkan harganya, bahkan menjadi lebih tinggi berbanding pada harga terdahulu.

Seperti contoh, Telur Ayam Gred B dijual pada harga RM9.90 bagi setiap 30 biji. Harga baru itu membuatkan Warta Raub meneliti kembali resit belian peribadi pada awal November lalu di mana harga barangan tersebut hanya RM8.50.

Pengguna tidak boleh menyalahkan peniaga kerana ia adalah resam dalam dunia perniagaan dan tidak mahukan kerugian, sebaliknya pengguna sendiri yang perlu mengubah paradigma untuk lebih fleksibel memanfaatkan peluang ini.

Pengguna di daerah ini boleh memvariasikan hidangan harian dengan memilih barangan yang ditawarkan pada harga rendah kerana bukan kemestian setiap isi rumah menikmati hidangan berasaskan telur.

Warta Raub mendapat maklum balas daripada pegawai Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bahawa harga barangan seperti telur tersebut tidak tetap mengikut masa.

Perbandingan harga dan barangan tidak hanya berlaku dalam sebuah pasar raya sahaja, tetapi pengguna boleh membandingkan harga barangan yang sama dengan pasar raya lain di sini seperti Tunas Manja dan Aktif.

Warta Raub mendapat salinan lisan berkenaan perbandingan harga antara TF Value Mart dan Tunas Manja dan terdapat keuntungan buat pengguna sekiranya mengaplikasikan kaedah ini.

Semalam, TF Value Mart menawarkan Ayam Standard Tempatan pada harga RM5.40 sekilo, tetapi Tunas Manja menawarkan harga RM5.99 sekilo.

Bagi Ikan Bawal Hitam Tempatan pula, TF Value Mart menawarkannya pada harga RM12.90 sekilo dan Tunas Manja menawarkan RM20.99 sekilo.

Terdapat juga barangan yang ditawarkan lebih rendah di Tunas Manja seperti Tomato dijual pada harga RM3.50 sekilo berbanding RM4.50 di TF Value Mart, dan RM10.99 bagi satu kilogram Daging Lembu tetapi harganya menjadi RM11.90 di TF Value Mart.

Di pasar raya TF Value Mart juga dapat dilihat pengguna bijak mengambil peluang dengan berbelanja barangan dengan tawaran harga lebih rendah.
Kong Fuee (kiri) turut tertarik melihat penurunan harga yang banyak
sekali gus menjadi tarikan kepada pengguna

.........................................................................................................
Warta Raub berpendapat pengguna sendiri yang memainkan peranan melaksanakan kuasa membeli sekali gus menguasai pasaran, bukannya dikuasai pengusaha / peniaga.

1 comment:

yangkita said...

DEBAT braveheart vs pdo pun best juga
http://braveheart-blogger.blogspot.com/2008/12/debat-breave-heart-vs-pdo.html