Wednesday, December 24, 2008

KRMD : Di sebalik peruntukan RM18 juta


DONG - Kompleks Rakan Muda Dong (KRMD) mendapat peruntukan sebanyak RM18 juta pada tahun depan untuk kerja-kerja membaiki kerosakan akibat musnah dipukul ribut awal Ogos lalu.

Warta Raub difahamkan, jumlah tersebut hanyalah 'kenyataan lisan' daripada kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Raub, namun masih tiada pengesahan hitam putih daripada kementerian.

Peruntukan yang disediakan itu dianggap sebagai 'berita baik' dan 'bonus' buat seluruh Warga Raub kerana jangkaan kerugian akibat kemusnahan tersebut hanya RM1 juta, tetapi menerima 'sokongan' sebanyak RM18 juta.

Namun, perkara yang paling mustahak perlu diberi perhatian adalah 'ketelusan' daripada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan KRMD kerana kini ia menjadi isu yang hangat sehingga memberi laluan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan siasatan.

Kompleks yang pada asalnya mendapat peruntukan pembinaan sebanyak RM24 juta terpaksa ditambah lebih RM3 juta lagi disebabkan beberapa faktor yang 'agak mencurigakan'.

Pada awal ogos lalu (iaitu kira-kira empat bulan selepas Tengku Mahkota Pahang merasmikan KRMD), kompleks tersebut ditimpa bencana ribut yang memusnahkan sebahagian besar bangunan sehingga melumpuhkan operasi Jabatan Belia dan Sukan.

Melihatkan kompleks yang belum mencapai usia setahun itu musnah termasuk tiang konkritnya patah, masyarakat di daerah ini meminta penjelasan pihak yang berkaitan.

Hanya wakil DAP Raub membuat laporan polis dan laporan BPR untuk menyiasat sekiranya berlaku 'penyelewengan' dalam projek pembinaan KRMD.

Pada ketika ini, masyarakat di daerah Raub 'terbuka mata' dan mempertikaikan tanggungjawab Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin, yang hanya mendiamkan diri.

Warta Raub difahamkan, semasa proses tender KRMD dikeluarkan sehinggalah tersergam indah di atas bukit kini, setiap urusannya 'dicampuri' dan keputusannya lebih 'didominasi' Shahiruddin yang bergelar EXCO Negeri pada ketika itu.

Namun, apabila bencana menimpa kompleks tersebut, di manakah pemimpin itu untuk memberi penjelasan kepada masyarakat di sini.

Lebih membimbangkan penduduk, pembinaan KRMD di atas tanah yang masih berstatuskan 'Warta Hutan Simpan' dan tidak mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) sehingga hari ini.

- Apakah jenis dan bentuk 'emas' yang dicari pada kawasan tersebut sehingga menyebabkan KRMD dibina di situ?

- Apakah nasib penduduk terutama golongan remaja yang menggunakan KRMD sekiranya berlaku bencana pada masa akan datang?

- Mengapa ia dibina di Dong sedangkan seharusnya ia dibina di kawasan bandar yang menjadi tumpuan seluruh masyarakat Raub?

Warta Raub juga berpendapat bahawa peruntukan RM18 juta itu tidak berbaloi digunakan untuk membaiki kerosakan KRMD kerana masih tidak memberi jaminan keselamatan NYAWA kepada penggunanya.
Terdapat kesan tanah runtuh dan retakan pada bangunan KRMD (25 Nov 2008)
...................................................................................................
Warta Raub sering merenungi nasib jabatan kerajaan yang terlibat dengan kes sebegini kerana mereka berhadapan dengan 'dilema' hebat apabila tanggungajawab kepada masyarakat sering 'dipolitikkan'. Nampaknya ahli politik lebih berperngaruh berbanding kuasa Kakitangan Kerajaan KUMPULAN A.

Tuesday, December 23, 2008

Gangguan Teknikal

Kepada Semua Pengunjung,

Warta Raub menghadapi masalah teknikal berkenaan pengunaan Internet. Oleh itu, beberapa artikel yang 'menarik' tidak dapat disiarkan ketika ini.
InsyaAllah, masalah akan diselesaikan secepat mungkin.

Antara artikel yang bakal disiarkan :

- Peranan BPR Raub dalam menangani beberapa kes melibatkan YB di sini.
- Senarai Aset Alih dan Aset Tak Alih milik Yayasan Raub (YR) yang 'dilesapkan'.
- 'Janji' YB memusnahkan harapan penduduk Dong.
- RM18 juta peruntukan 'membaiki' Kompleks Rakan Muda Dong (KRMD)

Harap terus mengunjungi blog ini dengan sabar.

Terima Kasih.

Jawapan untuk penduduk Sega Lama

Anonymous Anonymous said...

sega lama:saya rasa xde apa2 pun kg sega lama ni x mcm dulu semasa pemimping lama memimpin mcm2 event di anjurkan... tgk lh skng kg dh terurus,,, masyrakat h x bersatu padu ... lg satu melihat kpd kg 2 mmg dah teruk skang nh

December 22, 2008 7:56 PM

Delete
Anonymous Warta Raub said...

Kepada Anonymous SEGA LAMA,
Rasanya apa yang terjadi pada kampung anda bukan disebabkan faktor pemimpinnya. Warta Raub bukan bersifat memihak kepada Tok Empat Raof, tetapi kenyataan yang benar, ada 'sesuatu' yg meruntuhkan perpaduan di sana.
Bagaimana kampung anda mendapat turapan tar sepanjang jalan (satu kampung) kalau bukan kerana usahanya? bagi saya usaha untuk mendapatkan peruntukan tersebut bukan mudah.anda sudah menikmati kemudahan jalan yang 'cantik' sejak beberapa bulan lalu.Benar, kan?
banyak juga aktiviti dilaksanakan dan mendapat liputan dalam Sinar Harian, adakah anda tidak menyertai setiap aktiviti tersebut?atau anda salah seorang yang terlibat 'memboikot' aktiviti kampung Sega Lama?
masalah masyarakat tak bersatu padu, semua kampung hadapi perkara tersebut. apa yg pasti, mentaliti golongan BELIA perlu dimantapkan...
Fikir-fikirkan.

December 23, 2008 1:38 PM

Respon dari pengunjung Sidang Online

Putera_Semantan: Anak Srikandi saya perhatikan tulisan (saudara?/saudari?) amat menarik dan menepati ciri berita pendedahan. Tahniah...teruslah menulis! Dan jgn lupa, promosikan juga laman SidangOnline di blog anada! (http://sidangonline.net)

Saturday, December 20, 2008

Anuar 'milik' siapa?

BANDAR RAUB - Ahli Majlis Daerah Raub, Anuar Mat Din (52) yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian menghadapi pertuduhan salah guna kedudukannya dalam agensi itu empat tahun lalu.

Pada 23 Jun lalu, Anuar (gambar) diiringi dua pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) Raub bagi mendengar pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin dalam kamar Mahkamah Sesyen, di sini.

Anuar dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegah Rasuah 1997 (Akta 575) kerana menggunakan Perniagaan Warnasari untuk memasukkan sebut harga bernilai hampir RM180,000 bagi kepentingan diri sendiri.

Dia diarah melaporkan diri di pejabat BPR Raub sebelum atau pada 4 haribulan setiap bulan dan dilarang keluar dari negeri ini tanpa kebenaran mahkamah.

Sikap Anuar yang bersahaja dan naif itu mendatangkan simpati masyarakat Raub dan ada di kalangan ahli UMNO yang tidak dapat menafsirkan bahawa Anuar ini berpihak kepada pimpinan A atau B (dalam UMNO).

Malah, menjelang pemilihan UMNO Bahagian, Oktober lalu Anuar dikatakan berbincang dengan tokoh pimpinan B untuk dilepaskan dari perbicaraan kes tersebut, tetapi perkara tersebut disangkal pimpinan B dan menyatakan ia hanyalah 'penyeri' yang mewarnai kempen pemilihan ketika itu.

Perbicaraan terhadap kes tersebut tetap diteruskan bermula 22 Oktober lalu dan masih belum mencapai kata putus.

Warta Raub difahamkan, walaupun Anuar dibelenggu masalah tersebut, dia tetap mendapat kepercayaan ahli UMNO Cawangan Cheroh untuk melantiknya sebagai KETUA bagi musim baru ini.

Pasti masyarakat ingin mengetahui keadaan Anuar dan apakah yang dilakukan dalam kehidupannya hari ini kerana masalah yang dihadapinya itu boleh dikatakan menjejaskan reputasi dan namanya di daerah ini.

Pada 6 Disember lalu, Warta Raub mendapat tahu Anuar sering mengikuti Ketua UMNO Bahagian, Datuk Shahiruddin Ab Moin, menghadiri majlis-majlis jemputan dalam kawasan Parlimen Raub.

Terbukti, Anuar bukannya 'milik' pimpinan B tetapi sebaliknya menjadi 'kroni belangkas' pimpinan A dan menikmati kehidupan mewah, meriah serta bahagia bersama ketua pimpinan itu.

Sahabat Warta Raub sempat mengirimkan gambar majlis keraian di perkampungan Orang Asli Sungai Pasu yang dihadiri Shahiruddin dan 'kroni'nya termasuk gambar Anuar yang sedang 'asyik' bersewang dengan jelitawan Orang Asli di sana.
.
................................................................................................................................
Warta Raub tidak ingin mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana sudah jelas dan pasti 'kehidupan' penyokong pimpinan A ini 'amat selesa' dan tidak gentar pada hukuman yang tersedia menanti. Mungkin mereka 'dilindungi'.




Syarat baru jawatan ketua kampung

BANDAR RAUB - Biarpun perkara ini diutarakan dalam artikel keluaran lepas, Warta Raub mendapat makluman terbaharu berkenaan pemilihan ketua kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam daerah ini.

Seorang kenalan datang menemui Warta Raub dan menceritakan satu situasi di mana terdapat seorang tokoh pemimpin dalam satu kawasan 'dihubungi' pegawai khas yang menawarkan jawatan Pengerusi JKKK kepada tokoh tersebut.

Tawaran menerusi panggilan telefon itu menetapkan syarat bahawa kemestian bagi mereka adalah menyokong penuh pimpinan Datuk Shahiruddin Ab Moin (gambar) tanpa sebarang keraguan.

Melihatkan keadaan yang seperti dirancang itu, pemimpin berkenaan mengambil keputusan untuk menolak tawaran tersebut atas alasannya yang tersendiri.

Kenalan Warta Raub menyatakan bahawa kawasan kediaman pemimpin terbabit dikenal pasti menolak secara total cara pentadbiran dan pimpinan Shahiruddin yang terkenal dengan kronisme serta 'lanun darat' yang merompak tanah dan hak milik rakyat di sini terutama Melayu.
...............................................................................................................................
Warta Raub difahamkan pemimpin yang dihubungi itu dapat mengenal pasti empunya suara yang menelefonnya sekali gus menawarkan jawatan (elaun buta RM600) itu sebagai Pegawai Khas kepada Shahiruddin. Tidak habis dengan sogokan semasa pemilihan UMNO Bahagian, Shahiruddin kini 'melebarkan kuasa' dalam menentukan ketua kampung (puppet) pilihannya.

Tuesday, December 16, 2008

Nasib ketua kampung menjelang 2009

GESING - Nasib semua ketua kampung di daerah ini bakal terjawab menjelang Januari 2009 dengan perkhabaran bahawa bakal ada perubahan yang ketara sama ada boleh diterima masyarakat atau sebaliknya.

Semua perkampungan Melayu dan perkampungan baru menanti debaran sama ada bakal menerima pemimpin baru atau masih berkeadaan sama dengan kepimpinan terdahulu.

Warta Raub mendapati sudah hangat diperkatakan malah sudah ada 'senarai' beberapa nama pemimpin yang dikenal pasti atau hampir 100 peratus pasti akan diturunkan dari tampuk pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sumber terhampir menyampaikannya kepada Warta Raub, bahawa senarai tersebut hanyalah 'telahan' dan 'agakan' atau mungkin juga dikategorikan sebagai 'analisis tidak rasmi' beberapa Veteran UMNO Bahagian Raub.

Antara pengerusi JKKK yang mungkin tersenarai adalah dari kampung Gali Hilir, Ulu Renggol, Ulu Gali, Sega Lama, Tersan, Pamah Rawas, Kuala Gali, Chenua, Taman Muhibbah, Pintu Padang dan Kampung Tersang.

Alasan yang diberikan 'sekiranya berlaku' pemecatan jawatan ini, adalah berdasarkan faktor usia dan keuzuran.

Sekiranya diamati, Warta Raub merasakan ada sedikit keraguan dengan alasan yang diberikan itu memandangkan sebahagiannya masih sihat dan boleh berfikiran waras ketika mentadbir kawasan masing-masing.

Bahkan, terdapat juga beberapa pengerusi JKKK yang lantang bersuara menegakkan hak penduduk setempat seperti Pengerusi JKKK Gali Hilir dan Pintu Padang.

Pengerusi JKKK Ulu Renggol, Sega Lama dan Tersan juga antara yang kerap berusaha membina pembangunan kawasan mereka termasuk hadir ke Pejabat Daerah, mengimarahkan mana-mana majlis rasmi, malah menjadi tulang belakang 'meramaikan' majlis-majlis anjuran pemimpin daerah seperti Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat.

Warta Raub 'menyingkap hijab' yang dikatakan 'alasan terbaik' dalam kes pemecatan tersebut dan mendapati bahawa barisan pengerusi JKKK ini adalah antara yang nyata tidak menyokong barisan kepimpinan UMNO Bahagian hari ini yang diketuai Datuk Shahiruddin Ab Moin.

Lebih pasti, kebanyakan mereka (pengerusi JKKK) langsung tidak berasa hairan ataupun terkilan sekiranya 'dipaksa' turun daripada jawatan yang disandang hari ini.

Persoalan tentang pemecatan ini diajukan kepada Pengerusi JKKK Gali Hilir, Mohd Nor Mat Ali, dan beliau langsung tidak terkilan memandangkan khidmat yang dicurahkan selama ini adalah ikhlas buat penduduk kampung.

"Saya berani kerana benar, apa yang tidak baik memang saya pertikaikan dan sekiranya ini menjadi nanah kepada pihak tertentu, saya tidak kisah 'dikecualikan' daripada tampuk pimpinan ini kerana saya masih boleh menyara hidup sebagai pesara guru," katanya kepada Warta Raub.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Pintu Padang, Shahdan Dagok berkata, pemecatan tersebut langsung tidak merisaukannya kerana beliau menjalankan amanah mentadbir kampung tersebut dengan penuh jujur dan ikhlas.

"Saya juga pesara kerajaan dan saya tidak mengharapkan elaun pengerusi JKKK sebanyak RM600 itu malah saya mampu menyara keluarga seperti biasa walaupun tanpa elaun tersebut," kata Shahdan.

Warta Raub juga kemukakan soalan yang sama kepada Pengerusi JKKK Sengkela, Mustapha Kamal Mohamed, yang tidak disenaraikan dalam barisan pemimpin masyarakat 'bakal dipecat'.

Jawapan beliau ternyata membuktikan bahawa pemecatan jawatan Pengerusi JKKK bukanlah langkah bijak pihak tertentu yang ingin menyekat sokongan mereka terhadap tokoh pimpinan UMNO seperti Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid, Datuk Abdullah Abu Bakar dan juga Datuk Johar Rusi.

Malah, hampir keseluruhan penyokong setia 'pimpinan B' memiliki pekerjaan dan pendapatan sendiri berbanding penyokong 'pimpinan A' yang banyak mengharapkan 'ehsan' dan 'projek-projek' kecil dalam daerah untuk menyara diri dan keluarga.

Terkini, Warta Raub mendapat makluman bahawa temuduga jawatan pengerusi JKKK dan JKKKB diadakan bagi memilih individu yang 'berkaliber' untuk diberikan elaun percuma.

....................................................................................................................
Banyak perkara yang Warta Raub fikirkan apabila melihat kepada satu sudut ini, apakah sumbangan sebenar pengerusi JKKK dalam membentuk pembangunan kepada masyarakat? Bagaimana pula dengan elaun yang 'agak lumayan' diberikan setiap bulan, tetapi sebahagian mereka langsung 'tidak membuat sebarang kerja'. Apakah mereka tidak memikirkan status elaun yang dianggap 'haram' sekiranya terdapat penduduk kampung yang tidak redha dengan 'elaun buta' diterima mereka.
Warta Raub sebagai anak jati daerah ini merasakan sebahagian pengerusi JKKK 'disuap' dengan penuh manja hanya kerana mereka bersikap 'Yes Sir', 'Salam Kukut' dan terlalu manis mulut (pengampu).



Monday, December 15, 2008

Pengguna 'diajak' bijak berbelanja

TF VALUE MART - Pelancaran Kempen Penurunan Harga Barang di pasar raya ini semalam tidak hanya mengajak pengguna untuk membeli barangan dengan harga murah, tetapi turut bijak berbelanja agar dapat mengurangkan kos harian isi rumah.

Kempen yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Datuk Fong Kong Fuee, turut memberi maksud 'tersirat' supaya pengguna terutama bagi kawasan luar bandar membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian.

Warta Raub yang turut sama menyertai majlis pelancaran itu mendapati beberapa barangan (difahamkan 1,700 jenis) diturunkan harganya sehingga 65 peratus berkuatkuasa kelmarin sehingga 13 Januari 2009.

Penurunan harga sehingga pada tahap menakjubkan itu mendapat sambutan menggalakkan penduduk setempat yang tidak mahu melepaskan peluang menikmati penjimatan sehingga lebih RM10.

Warta Raub mengikuti Kong Fuee meninjau bahagian barangan basah dan melihat Udang Sedang dijual pada harga RM9.90 iaitu pengurangan RM7 berbanding harga asal.

Namun begitu, terdapat beberapa barangan yang tidak diturunkan harganya, bahkan menjadi lebih tinggi berbanding pada harga terdahulu.

Seperti contoh, Telur Ayam Gred B dijual pada harga RM9.90 bagi setiap 30 biji. Harga baru itu membuatkan Warta Raub meneliti kembali resit belian peribadi pada awal November lalu di mana harga barangan tersebut hanya RM8.50.

Pengguna tidak boleh menyalahkan peniaga kerana ia adalah resam dalam dunia perniagaan dan tidak mahukan kerugian, sebaliknya pengguna sendiri yang perlu mengubah paradigma untuk lebih fleksibel memanfaatkan peluang ini.

Pengguna di daerah ini boleh memvariasikan hidangan harian dengan memilih barangan yang ditawarkan pada harga rendah kerana bukan kemestian setiap isi rumah menikmati hidangan berasaskan telur.

Warta Raub mendapat maklum balas daripada pegawai Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bahawa harga barangan seperti telur tersebut tidak tetap mengikut masa.

Perbandingan harga dan barangan tidak hanya berlaku dalam sebuah pasar raya sahaja, tetapi pengguna boleh membandingkan harga barangan yang sama dengan pasar raya lain di sini seperti Tunas Manja dan Aktif.

Warta Raub mendapat salinan lisan berkenaan perbandingan harga antara TF Value Mart dan Tunas Manja dan terdapat keuntungan buat pengguna sekiranya mengaplikasikan kaedah ini.

Semalam, TF Value Mart menawarkan Ayam Standard Tempatan pada harga RM5.40 sekilo, tetapi Tunas Manja menawarkan harga RM5.99 sekilo.

Bagi Ikan Bawal Hitam Tempatan pula, TF Value Mart menawarkannya pada harga RM12.90 sekilo dan Tunas Manja menawarkan RM20.99 sekilo.

Terdapat juga barangan yang ditawarkan lebih rendah di Tunas Manja seperti Tomato dijual pada harga RM3.50 sekilo berbanding RM4.50 di TF Value Mart, dan RM10.99 bagi satu kilogram Daging Lembu tetapi harganya menjadi RM11.90 di TF Value Mart.

Di pasar raya TF Value Mart juga dapat dilihat pengguna bijak mengambil peluang dengan berbelanja barangan dengan tawaran harga lebih rendah.
Kong Fuee (kiri) turut tertarik melihat penurunan harga yang banyak
sekali gus menjadi tarikan kepada pengguna

.........................................................................................................
Warta Raub berpendapat pengguna sendiri yang memainkan peranan melaksanakan kuasa membeli sekali gus menguasai pasaran, bukannya dikuasai pengusaha / peniaga.

Yayasan Raub muncul kembali

SENGKELA - Yayasan Raub (YR) yang mencecah usia 13 tahun penubuhannya pernah menjadi tajuk utama hamparan berita lokal dan menggemparkan penduduk Raub kerana disaman penduduk tempatan dan disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada pertengahan Julai lalu.

Pelbagai berita dan laporan negatif dihidangkan kepada masyarakat yang sebahagian besarnya langsung tidak tahu tentang 'kewujudan' dana untuk rakyat itu.

Kini ia seolah-olah muncul kembali menemui rakyat Raub menerusi perkhabaran seumpama sogokan dengan harapan mendapat penerimaan baik seluruh masyarakat di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram (gambar) berkata, YR kini sedang menjalankan rundingan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub untuk urusan penyewaan premis milik YR yang masih dalam pembinaan di belakang bangunan Majlis Daerah Raub (MDR).

Menurutnya, penyewaan premis tersebut dianggap sebagai sumber pendapatan YR yang kemudiannya dijadikan dana kebajikan masyarakat.

"Sekiranya rundingan ini berjaya dan JKM Raub sudi menyewa premis tersebut, YR akan menjana pendapatan pada anggaran RM3,000 sebulan bagi mengisi tabung YR," katanya pada majlis pertemuan ramah mesra pemimpin bersama penduduk Kampung Sengkela.

Hadir sama mendengar ungkapan keramat tersebut Ahli Parlimen Raub, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Pegawai Daerah Raub, Datuk Abdull Muain Abdul Hamid dan Pegawai JKM Raub, Mohamad Tajul Aris Hassan.

Persoalan penting yang memerlukan pemikiran kritis masyarakat Raub ialah ke mana perginya wang / dana YR sehingga ratusan juta ringgit berdasarkan beberapa projek yang dipohon dan diluluskan kerajaan negeri.

Adakah kehilangan ratusan juta ringgit itu boleh diganti dengan pendapatan RM3,000 sebulan? Apakah rasionalnya Aziz Kiram mengumumkan perkara yang belum mendapat persetujuan JKM Raub lagi?

Bagi mengingatkan kembali semua masyarakat Raub, YR pernah disaman seorang usahawan tempatan, Razali Hassan, pada tahun 2007 berikutan penyelewangan yang dilakukan sebahagian besar pengarah YR.

Mahkamah pada ketika itu menolak permohonan YR (defendan) yang merayu untuk menggugurkan kes berkenaan.

Penolakan mahkamah terhadap permohonan defendan itu bermakna Razali Hassan (plaintif) melalui peguamnya, Mohd Harris Abdullah berjaya menyediakan pendakwaan dan membuktikan kes prima facie.

Plaintif kemudiannya bertindak menarik semula saman berkenaan dan memindahkan kes tersebut untuk urusan penyiasatan BPR Putrajaya.

Pada awal Ogos 2008, sebuah akhbar lokal memaparkan kes berkenaan sebagai tajuk utama yang mula mendapat perhatian penduduk seluruh daerah Raub dan negeri Pahang amnya.

Masyarakat yang mahukan penerangan terperinci berkenaan kontroversi yang dicetuskan YR boleh membuat carian di www.google.com.my dengan menaip kata kunci "Yayasan Raub".

......................................................................................................
Warta Raub berasa sinis mendengar ungkapan keramat yang keluar dari mulut Aziz Kiram berkenaan perkara tersebut sedangkan daripada mula sehingga akhir ucapannya, dia seolah-olah 'syok sendiri' apabila Warta Raub tidak dapat mencatat satupun isi penting ucapan (kerana semuanya dianggap 'merepek'). Premis yang dicanang untuk disewakan itu juga merupakan 'saguhati' daripada syarikat swasta setelah YR dengan 'rela hati' menyerahkan projek pembinaan ke tangan syarikat itu. Sekiranya diperhalusi, YR boleh menjana pendapatan yang lumayan jika menguruskan sendiri projek berkenaan, ataupun mendapat 'bahagian' yang besar sekiranya diagihkan mengikut peratusan projek. Tetapi hanya dua lot rumah kedai yang diterima atas 'gadaian' tersebut di mana salah seorang pengarah YR adalah pemilik syer dalam syarikat swasta berkenaan. Tolak sana sini, masuk poket mereka juga.

Saturday, December 13, 2008

Salam Perkenalan

Kemunculan Warta Raub kini menghidupkan lagi medan penyiaran dengan berita-berita khas dari Raub.
Sebagai permulaan hari ini, Warta Raub mengucapkan salam perkenalan kepada semua warga Raub khasnya dan rakyat di negeri Darul Makmur ini amnya.
Buat pengetahuan pengunjung, Warta Raub BUKANLAH bersifat berita ataupun laporan HARIAN, tetapi akan memaparkan berita lokal yang tepat berkisar DAERAH EMAS ini, SEKIRANYA ADA.
Warta Raub juga adalah milik PERIBADI blogger dan tidak berpihak kepada sesiapapun, juga tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak sekalipun.
Ia bersifat bebas dan tidak akan prejudis kepada sesiapa pun.
Peringatan awal,
sesiapa sahaja yang dikaitkan dalam pemberitaan ini, terimalah dengan hati terbuka dan positif serta berusaha untuk berubah demi kebaikan bersama.
Semoga medan penyiaran baru ini memberi manfaat kepada pengunjung yang dahagakan informasi terkini dan dikemas kinikan di Raub ini.
Sebarang maklum balas sama ada kritikan, nasihat, pandangan dan maklumat sokongan yang diberikan amatlah dihargai.
Sekian, Terima Kasih