Tuesday, December 16, 2008

Nasib ketua kampung menjelang 2009

GESING - Nasib semua ketua kampung di daerah ini bakal terjawab menjelang Januari 2009 dengan perkhabaran bahawa bakal ada perubahan yang ketara sama ada boleh diterima masyarakat atau sebaliknya.

Semua perkampungan Melayu dan perkampungan baru menanti debaran sama ada bakal menerima pemimpin baru atau masih berkeadaan sama dengan kepimpinan terdahulu.

Warta Raub mendapati sudah hangat diperkatakan malah sudah ada 'senarai' beberapa nama pemimpin yang dikenal pasti atau hampir 100 peratus pasti akan diturunkan dari tampuk pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sumber terhampir menyampaikannya kepada Warta Raub, bahawa senarai tersebut hanyalah 'telahan' dan 'agakan' atau mungkin juga dikategorikan sebagai 'analisis tidak rasmi' beberapa Veteran UMNO Bahagian Raub.

Antara pengerusi JKKK yang mungkin tersenarai adalah dari kampung Gali Hilir, Ulu Renggol, Ulu Gali, Sega Lama, Tersan, Pamah Rawas, Kuala Gali, Chenua, Taman Muhibbah, Pintu Padang dan Kampung Tersang.

Alasan yang diberikan 'sekiranya berlaku' pemecatan jawatan ini, adalah berdasarkan faktor usia dan keuzuran.

Sekiranya diamati, Warta Raub merasakan ada sedikit keraguan dengan alasan yang diberikan itu memandangkan sebahagiannya masih sihat dan boleh berfikiran waras ketika mentadbir kawasan masing-masing.

Bahkan, terdapat juga beberapa pengerusi JKKK yang lantang bersuara menegakkan hak penduduk setempat seperti Pengerusi JKKK Gali Hilir dan Pintu Padang.

Pengerusi JKKK Ulu Renggol, Sega Lama dan Tersan juga antara yang kerap berusaha membina pembangunan kawasan mereka termasuk hadir ke Pejabat Daerah, mengimarahkan mana-mana majlis rasmi, malah menjadi tulang belakang 'meramaikan' majlis-majlis anjuran pemimpin daerah seperti Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat.

Warta Raub 'menyingkap hijab' yang dikatakan 'alasan terbaik' dalam kes pemecatan tersebut dan mendapati bahawa barisan pengerusi JKKK ini adalah antara yang nyata tidak menyokong barisan kepimpinan UMNO Bahagian hari ini yang diketuai Datuk Shahiruddin Ab Moin.

Lebih pasti, kebanyakan mereka (pengerusi JKKK) langsung tidak berasa hairan ataupun terkilan sekiranya 'dipaksa' turun daripada jawatan yang disandang hari ini.

Persoalan tentang pemecatan ini diajukan kepada Pengerusi JKKK Gali Hilir, Mohd Nor Mat Ali, dan beliau langsung tidak terkilan memandangkan khidmat yang dicurahkan selama ini adalah ikhlas buat penduduk kampung.

"Saya berani kerana benar, apa yang tidak baik memang saya pertikaikan dan sekiranya ini menjadi nanah kepada pihak tertentu, saya tidak kisah 'dikecualikan' daripada tampuk pimpinan ini kerana saya masih boleh menyara hidup sebagai pesara guru," katanya kepada Warta Raub.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Pintu Padang, Shahdan Dagok berkata, pemecatan tersebut langsung tidak merisaukannya kerana beliau menjalankan amanah mentadbir kampung tersebut dengan penuh jujur dan ikhlas.

"Saya juga pesara kerajaan dan saya tidak mengharapkan elaun pengerusi JKKK sebanyak RM600 itu malah saya mampu menyara keluarga seperti biasa walaupun tanpa elaun tersebut," kata Shahdan.

Warta Raub juga kemukakan soalan yang sama kepada Pengerusi JKKK Sengkela, Mustapha Kamal Mohamed, yang tidak disenaraikan dalam barisan pemimpin masyarakat 'bakal dipecat'.

Jawapan beliau ternyata membuktikan bahawa pemecatan jawatan Pengerusi JKKK bukanlah langkah bijak pihak tertentu yang ingin menyekat sokongan mereka terhadap tokoh pimpinan UMNO seperti Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid, Datuk Abdullah Abu Bakar dan juga Datuk Johar Rusi.

Malah, hampir keseluruhan penyokong setia 'pimpinan B' memiliki pekerjaan dan pendapatan sendiri berbanding penyokong 'pimpinan A' yang banyak mengharapkan 'ehsan' dan 'projek-projek' kecil dalam daerah untuk menyara diri dan keluarga.

Terkini, Warta Raub mendapat makluman bahawa temuduga jawatan pengerusi JKKK dan JKKKB diadakan bagi memilih individu yang 'berkaliber' untuk diberikan elaun percuma.

....................................................................................................................
Banyak perkara yang Warta Raub fikirkan apabila melihat kepada satu sudut ini, apakah sumbangan sebenar pengerusi JKKK dalam membentuk pembangunan kepada masyarakat? Bagaimana pula dengan elaun yang 'agak lumayan' diberikan setiap bulan, tetapi sebahagian mereka langsung 'tidak membuat sebarang kerja'. Apakah mereka tidak memikirkan status elaun yang dianggap 'haram' sekiranya terdapat penduduk kampung yang tidak redha dengan 'elaun buta' diterima mereka.
Warta Raub sebagai anak jati daerah ini merasakan sebahagian pengerusi JKKK 'disuap' dengan penuh manja hanya kerana mereka bersikap 'Yes Sir', 'Salam Kukut' dan terlalu manis mulut (pengampu).



4 comments:

Anonymous said...

saudari,
mohon blog ini dijadikan link dari bloh saudari;
http://gerbangtemumaya.blogspot.com/

Anonymous said...

sega lama:saya rasa xde apa2 pun kg sega lama ni x mcm dulu semasa pemimping lama memimpin mcm2 event di anjurkan... tgk lh skng kg dh terurus,,, masyrakat h x bersatu padu ... lg satu melihat kpd kg 2 mmg dah teruk skang nh

Anonymous said...

Kepada Anonymous SEGA LAMA,
Rasanya apa yang terjadi pada kampung anda bukan disebabkan faktor pemimpinnya. Warta Raub bukan bersifat memihak kepada Tok Empat Raof, tetapi kenyataan yang benar, ada 'sesuatu' yg meruntuhkan perpaduan di sana.
Bagaimana kampung anda mendapat turapan tar sepanjang jalan (satu kampung) kalau bukan kerana usahanya? bagi saya usaha untuk mendapatkan peruntukan tersebut bukan mudah.anda sudah menikmati kemudahan jalan yang 'cantik' sejak beberapa bulan lalu.Benar, kan?
banyak juga aktiviti dilaksanakan dan mendapat liputan dalam Sinar Harian, adakah anda tidak menyertai setiap aktiviti tersebut?atau anda salah seorang yang terlibat 'memboikot' aktiviti kampung Sega Lama?
masalah masyarakat tak bersatu padu, semua kampung hadapi perkara tersebut. apa yg pasti, mentaliti golongan BELIA perlu dimantapkan...
Fikir-fikirkan.

Anonymous said...

Kesian depa kena gugur. Tapi nak buat camner? Dah nasib. Walaubagaimana pintu keadilan masih terbuka. Sertaila PKR dengan segera.